Tiga tunggak utama sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu (dari kiri) Imuda, Zami Ismail dan Khatijah Tan. |
PETALING JAYA: Pemergian pelakon komedi veteran Zami Ismail, 67, pada pagi Ahad, ternyata meninggalkan impak dan begitu dirasai oleh sekalian penggiat seni tanah air dan peminat komedi.
Allahyarham yang cukup terkenal dengan watak Pak Uda menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu (PMPMTT) pada era 1980-an hingga lewat 1990-an itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad di Insitut Jantung Negara (IJN).
Berkongsi berita duka itu, teman rapat Allahyarham yang juga pelakon sitkom tersebut iaitu Imuda, 51, berkata permergian Zami meninggalkan impak besar buat dunia komedi tanah air.
Imuda yang mula mengenalinya sejak tahun 1980 ketika sama-sama memulakan produksi sitkom berkenaan menyifatkan Allahyarham sebagai abang sulung yang penuh gurau-senda dan kata-kata nasihat.
Imuda |
"Saya sangat terkilan kerana tidak sempat untuk menziarahi jenazah Allahyarham buat kali terakhir di IJN pagi tadi (Ahad). Bagaimanapun, saya sempat melawatnya ketika dia sakit di hospital minggu lalu.
"Sebagai antara teman rapat yang sudah mengenalinya sekian lama, saya sangat sedih dengan berita kematiannya,” katanya kepada mStar Online, di sini, Ahad.
Susulan kematian pelakon veteran itu, Imuda mengakui, dia masih kebuntuan memikirkan tentang pementasan The Return of PMPMTT yang akan berlangsung di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 26 Jun ini.
"Berita kematian Allahyarham adalah satu kejutan yang sangat menyedihkan. Namun, pada masa yang sama saya juga tidak tahu apakah keputusan yang akan dilakukan tentang pementasan PMPMTT pada 26 Jun ini.
"Walaupun Allahyarham berada dalam keadaan uzur sebelum ini, dia adalah nadi pementasan tersebut. Kini dia sudah tiada, saya tidak pasti sama ada untuk meminda skrip atau batalkan terus pementasan itu.
"Tiada Pak Uda, tiadalah PMPMTT. Mungkin pada malam esok (malam ini) saya akan berbincang dengan pihak Karyawan dan lain-lain tentang perkara ini," terangnya.
Anak ketiga Allahyarham yang merupakan seorang pengarah dan pelakon Mohd Soupi Zami (Opie Zami) berkata, komitmen bapanya terhadap kerja seninya adalah sangat mengagumkan walaupun ketika dalam keadaan uzur.
Anak ketiga Allahyarham, Opie Zami |
"Dia seorang yang komited dan bertanggungjawab dalam kerjanya. Dalam keadaan uzur, dia tetap pergi ke lokasi penggambaran kerana menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan.
"Walaupun sakit, dia tetap gagahkan dirinya demi tanggungjawab tersebut," katanya yang ditemui perkarangan rumah mayat IJN, Ahad.
Pengarah sitkom berkenaan iaitu Othman Hafsham, 71, berkata sepanjang mengenali Allahyarham selama hampir 30 tahun, dia begitu menyenangi karakter dan profesionalisme yang diamalkan oleh pelakon itu.
Pengarah, Othman Hafsham |
"Allahyarham adalah tunggak PMPMTT. Dia seorang yang tenang, komited dan kaya dengan idea dalam persembahannya.
"Sepanjang mengenalinya, dia tidak kering dengan jenaka. Bagi saya, jika tiada watak Pak Uda, maka tiada PMPMTT," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, kehilangan Allahyarham akan terus meninggalkan kenangan lucu dan aksi mencuit hatinya di kalangan peminat komedi dan sitkom itu.
"Kematiannya adalah satu kejutan yang sangat mendukacitakan. Sebagai rakan artis dan penganjur pementasan The Return of PMPMTT yang akan diadakan pada 26 Jun ini, saya berasa sangat sedih dengan pemergiannya.
"Kegigihan dan kesungguhannya untuk turut serta dalam pementasan itu sangat mengagumkan walaupun dia uzur. Kami masih belum tahu apakah bentuk pindaan yang perlu dilakukan tentang pementasan itu.
"Yang pasti, ia akan menjadi satu majlis penghormatan buat Allahyarham. Sebahagian daripada jualan tiket petunjukan itu nanti akan kita sumbangkan kepada keluarganya," katanya.
Sejak menceburi bidang lakonan pada 1980an, Zami sudah membintangi 20 buah filem seperti Mat Som, Pening-Pening Lalat, Wanita Bertudung Hitam, Jin Hutan, Zombie Kampung Pisang, Shhh...Dia Datang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Janin dan yang terakhir Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit pada Mac lalu.
Allahyarham pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-9 menerusi filem Mat Som, selain tercalon untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM11 menerusi Wanita Bertudung Hitam.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak selepas solat Asar, petang Ahad.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.
Pada 2008, beliau pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Selayang selepas tidak sedar kerana sesak nafas.