Tali leher berlogo Bersih itu dijual dengan harga RM15 di lobi Bangunan Annex ketika sidang Dun berhenti rehat tengah hari tadi.
DUN SELANGOR
SHAH ALAM: Bahang Bersih 2.0 masih belum reda apabila para penyokong kerajaan negeri menjalankan kempen penjualan tali leher berwarna kuning simbolik kepada perhimpunan 9 Julai itu ketika sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor berlangsung di sini hari ini.
Tali leher berlogo Bersih itu dijual dengan harga RM15 di lobi Bangunan Annex ketika sidang Dun berhenti rehat tengah hari tadi.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Rozan Azen Mat Asip, pihaknya mencetak sebanyak 100 helai tali leher berlogo Bersih.
“Pada hari ini kita berjaya menjual kira-kira 50 helai tali leher dalam tempoh setengah jam. Sambutan ini sangat menggalakkan dan antara Yang Berhormat (YB) yang sudah beli ialah Khalid Samad dan Ronnie Liu.
“Ada juga YB yang mahu beli banyak terus dan kalau hendak boleh membuat tempahan melalui laman facebook saya,” katanya.
Rozan berkata penjualan tali leher itu sebagai tanda sokongan terhadap kempen Bersih yang menuntut agar pilihan raya adil dan bersih dijalankan di negara ini.
Bagi Timbalan Ketua PKR Cabang Batu V Ravindran pula berkata penjualan tali leher itu bukan sekadar mendapatkan keutungan tetapi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai tuntutan Bersih.
“Niat kami untuk memberi kesedaran kepada orang ramai walaupun pihak berkuasa mengeluarkan larangan tetapi kami tidak akan berhenti,” katanya.
Polis sebelum ini menegaskan larangan terhadap apa juga pakaian atau logo Bersih 2.0 dan sesiapa yang menggunakannya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Polis.