"Pekida bukan kumpulan gengster, yang gangster, yang 'pau' dan pukul orang tu kumpulan 'serpihan' yang asalnya dulu Pekida," kata Penasihat Pekida Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Hamzah Daud.
PETALING JAYA: “Sekarang tak kira lu Abang Long ka, lu Ayahanda ka, ini KL gua pegang!” kata Shark tidak puas hati kerana bimbang Malek akan merampas takhtanya sebagai ketua kumpulan kongsi gelap Kuala Lumpur satu hari nanti.
Shark (lakonan Shamsul Yusof) dan Malek (Aaron Aziz) merupakan watak dalam filem KL Gangster yang meceritakan tentang survival segelintir anak muda yang hidup di tengah kepesatan ibu kota, akhirnya memilih jalan hitam sehingga terjebak dalam kancah sosial dan gengsterisme.
Namun di sebalik kisah fiksyen itu timbul satu persepsi apabila terdapat beberapa adegan yang didakwa menyentuh ‘kod rahsia’ dan secara terang mempersendakan pergerakan kumpulan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Sekaligus meninggalkan tanggapan kepada penonton bahawa badan bukan kerajaan itu (NGO) seolah-olah seperti satu kumpulan mafia yang memeras ugut dan menindas golongan bawahan.
Persoalannya, adakah benar pertubuhan yang dinaungi mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ini bergerak dengan cara sedemkian?
“Pekida bukan kumpulan gengster, yang gengster, yang ‘pau’ dan pukul orang tu kumpulan ‘serpihan’ yang asalnya dulu Pekida.
“Kemudian keluar tubuhkan kumpulan baru yang tidak berdaftar dan ambil kesempatan atas nama Pekida untuk melebarkan kuasa dan pengaruh mereka,” tegas Penasihat Pekida Wilayah Persekutuan Datuk Paduka Hamzah Daud.
FMT turut mendapat penjelasan lanjut mengenai perjuangan Pekida dan kepentingannya kepada masyarakat awam sekaligus merungkai kekeliruan sesetengah pihak.